Thursday, November 4, 2010

49.61 peratus keluar mengundi di Galas

12.27pm Sehingga jam 12, peratus keluar mengundi sebanyak 49.61 peratus. Seramai 5732 orang telah mengundi.

11.57am Perang mulut masih berterusan di antara penyokong PAS dan BN di luar pusat mengundi SK Seri Wangi.

"Budak sekolah, budak universiti balik ke rumah," laung seorang penyokong BN yang memakai tudung merah jambu.

Ini disahut dengan, "budak tak sekolah balik ke rumah," daripada penyokong PAS.

Pemandu yang lalu lalang di kawasan berkenaan terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melalui kawasan berkenaan memandangkan keadaan jalannya yang menjadi sempit.

Langit cerah, helikopter berlegar

11.27am Di pusat pengundian Bandar Baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Indra Petra, kelihatan helikopter polis berlegar-legar di langit yang mulai cerah.

Keadaan tenang. Penyokong PAS mula berselawat dan penyokong BN mencari tempat berteduh daripada panas matahari.

Di SK Lepan Jaya, pusat pengundian bagi LepanTupai keadaan hampir sama.

11.35pm Sehingga 11 pagi, jumlah keluar mengundi di Galas sebanyak 4,589 orang atau 39.72 peratus (tidak termasuk enam kawasan Orang Asli).

10.55am Pengerusi MCA Kelantan Dr Ng Yen Yen berkata beliau yakin kejayaan akan memihak kepada BN kerana rakyat tempatan mahukan perubahan.

"Mereka mahu kemajuan dan mereka mahu konsep 1Malaysia menjadi kenyataan," kata Ng kepada pemberita di luar SK Gua Musang di Bandar Lama Gua Musang, kawasan campuran Melayu dan Cina.

10.55am Setakat 10 pagi, peratusan keluar mengundi sebanyak 24.02% (2775), tidak termasuk 6 kawasan Orang Asli.

Gear 2 naik bukit

10.15am Pemilih terpaksa berjalan 300 meter mendaki jalan yang curam ke pusat pengundian.

Ramai mengadu keletihan, terutamanya wanita mengandung dengan anak kecil dalam dukungan untuk berjalan ke SK Sri Wangi.

"Rehatlah dulu, sekejap lagi nak masuk gear dua," keluh mereka.

10.14am Di Sg Terah, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Md Isa tiba, bersalaman dan kelihatan berseloroh dengan Ahmad Maslan.

"Pertandingan persahabatan," kata Ahmad.

10.03am Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata selain insiden di SM Tengku Indera Putra, suasana tenang di tempat lain.

Ahli parlimen pontian itu berkata penyokong BN mengalami kececeraan ringan.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Ahmad berkata, kedua-dua pihak telah bersalaman dan berbaik semula selepas kejadian itu.

Mustapha: Penyokong dia nampak lebih ramai

10.02am Menurut seorang pegawai SPR, sehingga jam 9.50, peratus keluar mengundi di Sg Terah hampir 300 orang daripada 1,912 orang yang layak mengundi.

Beliau menjangkakan 400 akan turun menjelang jam 11.

9.49am Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed berkata proses membuang undi hari ini bermula perlahan.

"Tapi kita tengoklah nanti," katanya ringkas ketika ditemui di luar SK Seri Wangi.

"Penyokong dia (PAS) nampak lebih ramai dekat sini," katanya lagi ketika meninjau kumpulan penyokong berkenaan.

Beliau juga berkata, jalan utama di simpang yang menghala ke sekolah berkenaan juga terlalu sempit.

9.51am Setakat jam 9 pagi, peratusan keluar mengundi di Galas sebanyak 9.93 peratus. Sebanyak 1147 telah membuang undi. Ini tidak termasuk di enam kawasan orang asli.

Hadang dengan Landrover

9.18am Lebih seratus orang telah membuang undi di SRJKC Gua Musang sejak peti undi itu dibuka sejam lalu.

Sedikit ketegangan berlaku berhampiran SK Gua Musang, di Bandar Lama (kawasan campuran) apabila penyokong PAS melintas kawasannya, mengundang kemarahan penyokong Umno.

Polis menggunakan Landrover sebagai penghadang kepada dua kumpulan yang rancak berperang mulut.

SK Gua Musang, kawasan tumpuan, 600 orang daripada PAS dan BN berkumpul sejak pagi.

8.45am Nik Aziz dan calon PAS Zulkefli menghabiskan kira-kira 10 minit di SRJKC. Ramai mengambil kesempatan bergambar dengannya. Pengarah Strategik PKR turut tiba lima minit kemudian.

8.41am Di kubu kuat PAS di Sg Terah, kelihatan kira-kira 400 penyokong parti itu berbanding hanya 50 berbanding BN. Kelihatan Pengerusi Umno negeri Mustapha Mohamad berlegar sekitar kawasan penyokong BN.

'Penimbang lama' lawan 1Malaysia

8.35am Penyokong PAS kelihatan jauh melebihi penyokong BN di sepanjang jalan menuju SK Sri Wangi.

Mereka mengejek penyokong BN yang agak senyap sebagai 'penimbang lama'.

Sementara itu, kelihatan beberapa pemilih memakai kemeja-T bertulis 1Malaysia di SK Gua Musang dan SRJKC Gua Musang.

8.26am Seorang penyokong PAS berpakaian Briged Muslimat menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan kuat kepada SPR dengan mendakwa tidak membenarkan petugas Pakatan Rakyat memasuki kawasan yang ditutup sekitar SMK Agama di Taman Mawar.

8.25am Calon PAS Zulkefli meluangkan kira-kira 10 minit bertegur sapa dengan pemilih, pegawai polis dan kakitangan pilihan raya.

Beliau meninggalkan tempat itu dengan laungan takbir daripada penyokong PAS.

Perang mulut berlaku antara kedua-dua penyokong menyebabkan polis dan pegawai SPR menjarakkan lagi kedudukan penyokong bagi mengelakkan sebarang insiden tercetus.

Pagi mendung

8.15am Di SK Gua Musang - salah satu pusat pengundian di Kampung Baru Gua Musang - penyokong PAS yang berkumpul kelihatan memakai baju bertulis 'PAS for All, manakala penyokong Umno pula membawa poster bertulis 'PAS Penipu'.

8.02am Cuaca di Galas sedikit mendung. Bagaimanapun, tiada hujan lebat seperti malam tadi.

Di pusat pengundian SK Tengku Muhammad Fakhry Petra, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad tiba diiringi Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Zulkefli ditentang calon BN Abdul Aziz Yusof dalan pertembungan satu lawan satu.

Zulkefli menggalas beban berat di DUN itu ekoran Galas merupakan antara kubu kuat Umno yang berjaya ditawan PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, kejayaan dalam pilihan raya ini tidak akan memberikan sebarang kesan terhadap kawalan PAS di DUN. Parti itu kini menguasai 38 daripada 45 kerusi di Kelantan.

Manakala sekutunya PKR mendapat satu dan Umno sebanyak enam.
sumber
[Berita penuh menyusul]

Wednesday, November 3, 2010

PAS hantar surat bantahan isu kira undi Orang Asli

GUA MUSANG, 3 Nov — PAS menyerahkan surat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang ini berhubung keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli — yang mempunyai 942 pengundi — tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit.

Surat bantahan itu diserahkan wakil calon PAS pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Abdullah Hussein kira-kira pukul 3 petang tadi.

Turut hadir peguam Asmuni Awi dan surat tersebut diserahkan kepada Penolong Pegawai Pengurus Muhammad Yusof Hassan.

PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad manakala Barisan Nasional (BN) memilih Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff pada pilihan raya kecil Galas.

“Saya selaku wakil pilihan raya kepada Dr Zul (Zulkefli) dengan ini membantah dan menuntut supaya pengiraan undi bagi undi yang dibuang di kesemua pusat mengundi hendaklah dilakukan atau dikira di tempat di mana undi-undi itu dibuang,” kata Abdullah selepas menyerahkan surat bantahan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Dalam surat bantahan itu, menurut Abdullah, pihaknya tidak nampak kewajaran mengapa pengiraan undi itu tidak dapat dilakukan di pusat-pusat di mana undi-undi tersebut dibuang.

“Jumlah pemilih di kesemua Daerah Mengundi yang terlibat terlalu kecil jumlahnya iaitu antara 160 hingga 278 orang. Oleh itu masa yang diperlukan untuk proses pengiraan adalah pendek iaitu kurang dari dua jam termasuk proses pengiraan semula.

“Waktu mengundi di kesemua Daerah Mengundi tersebut ditutup jauh lebih awal iaitu pukul 1 tengah hari berbanding pusat-pusat mengundi lain.

“Oleh itu proses pengiraan boleh dilakukan seawal 1.30 tengah hari dan selesai selewat-lewatnya pukul 3 petang.

“Oleh itu tidak timbul masalah kelewatan untuk membawa keputusan tersebut dan kertas-kertas undi yang telah dikira ke pusat penjumlahan oleh kerana proses pengiraan telah selesai,” katanya.

Malah Abdullah berkata sekiranya kertas-kertas undi dibawa keluar dengan helikopter untuk pengiraan kaedah yang sama boleh digunakan untuk membawa keluar keputusan dan kertas undi yang telah dikira.

“Membawa keluar kertas undi untuk pengiraan di tempat lain dari pusat-pusat membuang undi akan menimbulkan kesukaran kepada ejen pengiraan calon.

“Intergriti pihak SPR sendiri akan tercalar kerana beberapa kontroversi yang akan timbul sekiranya pengiraan undi tersebut dilakukan di tempat lain selain dari pusat mengundi,” katanya.

Awal pagi ini Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata pihaknya mempunyai kuasa dalam menentukan tempat mengira undi sama ada di pusat-pusat pengundian ataupun di tempat lain termasuk pusat penjumlahan undi jika difikirkan perlu dalam kes-kes khas.

Sambil menasihatkan mana-mana pihak tidak bimbang, Noordin berkata, langkah sedemikian diambil dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Sehubungan itu, SPR memberi jaminan kepada PAS bahawa tiada penipuan akan berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas membabitkan empat kawasan Orang Asli yang didakwa PAS semalam.

“SPR mempunyai kuasa untuk tentukan macam mana nak kira kertas undi.

“Dalam isu Orang Asli ini, kita bawa balik ke pusat penjumlahan kertas undi selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk cuaca.

“Kalau cuaca sekarang yang tidak menentu dan hujan, kalau kira di sana, bila masa baru kita akan balik ke sini. Bukankah ia akan lebih melambatkan?” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Petang semalam, PAS menggesa SPR mengkaji semula keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit.

Malah Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata SPR tidak mempunyai sebarang alasan untuk membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli.

“Apa halangan kalau ia dikira di sana? Saya tidak nampak apa halangannya pun.

“Kalau dibawa dengan helikopter kita syaki hal-hal diingini akan berlaku. Lagipun peti undi di sana tutup pukul 1 tengah hari, bukan banyak pun nak kira.

“Alasan yang diberikan SPR itu amat diragui,” kata Halim pada sidang media Markas Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini pagi tadi.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang. [ SUMBER]