Tuesday, June 28, 2011

Bersih 2.0: Jangan sampai rakyat benci polis


KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) mengingatkan polis bahawa tindakan mereka kebelakangan ini yang menangkap orang yang memakai baju Bersih 2.0 sewenang-wenangnya akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat, yang asalkan tertumpu pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertukar kepada pihak polis.

“Tindakan polis kebelakangan ini akan menyebabkan rakyat yang asalnya tidak berpuas hati dengan SPR bertukar kepada polis,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau turut mengecam tangkapan polis terhadap aktivitis yang memakai atau menjual baju Bersih 2.0 sebagai satu yang amat bertentangan dengan hak asasi manusia dan nilai undang-undang.

“Tindakan menangkap mereka yang memakai baju Bersih atau menjual baju Bersih adalah nyata bertentangan dengan peraturan dan undang-undang.

“Atas alasan apa mereka ditangkap dan peruntukan mana yang digunakan (untuk menangkap mereka)?” soal beliau.

Kebelakangan ini, Bersih 2.0 bukan saja tidak diberi ruang bernafas oleh para pemimpin Umno BN yang tidak berhenti-henti mengecam perhimpunan pada 9 Julai ini.

Malah, katanya pihak polis sudah turut serta untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 daripada berlaku dengan melancarkan gerakan di seluruh negara bagi menghalang badan pemantau pilihanraya itu daripada mempromosi perhimpunannya.

Sehingga kini, 81 orang telah ditahan polis dan jumlahnya dijangka meningkat ketika Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) memperhebatkan lagi kempennya dalam tempoh dua minggu sebelum perhimpunan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengingatkan polis bahawa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bukan perhimpunan untuk menentang polis, tetapi untuk membaiki sistem pilihan raya.

Polis, kata beliau seharusnya melaksanakan tugas dengan adil dan saksama kepada semua rakyat.

Mengenai kekhuatiran ramai bahawa akan wujud pertembangan tiga kumpulan yang berhimpun pada 9 Julai ini iaitu Bersih 2.0, Pemuda Umno dan rakan akribnya Perkasa, Tuan Ibrahim berkata ia adalah tugas polis untuk mengelakkan pertembungan itu daripada berlaku.

“Sekiranya mereka dapat melakukan (mengasingkan dua kumpulan penyokong) di hari penamaan calon, mengapat tidak di Bersih 2.0?” soal beliau.

Beliau turut menyarankan polis untuk mewujudkan buffer zone untuk mengelakkan pertembugan dua kumpulan.

“Kalau polis gagal mewujudkan buffer zone maka rakyat akan menganggap polis gagal menjalankan tugas sebenar iaitu menjamin keselamatan rakyat,” kata beliau. -Harakah

Monday, June 27, 2011

Sembahyang pakai baju Umno


Percayalah, bahawa anda akan dapat pahala berganda-ganda jika sembahyang pakai baju Umno! Kalau pakau baju bersih sahaja beginilah jadinya....

Thursday, June 16, 2011

30,000 pemuda Perak sertai Bersih 2.0

Harakahdaily

IPOH, 16 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penegasan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan bahawa akan tetap menerus perancangan bagi menjayakan himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini di Kuala Lumpur.

Ketua penerangannya, Mohd Akmal Kamarudin berkata, seramai 30 ribu akan bersama-sama untuk turun di dalam himpunan tersebut dan menyeru kepada rakyat Negeri Perak yang dinafikan hak mereka memilih menteri besar yang sah supaya dapat turut bersama.

“Kami tegaskan bahawa apa yang akan dilakukan ini adalah satu jihad menegakkan keadilan dan kami ingin pastikan satu cara yang akan merubah sistem pilihan raya yang benar-benar bersih tanpa penyelewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi bahawa himpunan itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi ianya bertujuan menuntut agar kerajaan akur dengan tuntutan rakyat supaya pilihan raya perlu bersih bagi memastikan Umno Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya yang akan datang kerana telah banyak menyusahkan dan menipu rakyat selama ini.

“Kita hanya menuntut pihak Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia agar melaksanakan tuntutan penggunaan dakwat kekal (sebagaimana yang dilakukan di Indonesia dan India) untuk menghalang pengundian berganda, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara.

“Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan,” katanya.

Selain itu, ujarnya semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio.

Tambahnya, iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih sementara media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.

“Kami tidak gentar dengan pelbagai ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memastikan kegagalan himpunan ini nanti tetapi

kami pertegaskan bahawa himpunan tersebut adalah hak dan demokrasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

“Kami bersama badan bukan kerajaan atas nama Bersih akan bersedia berdepan dengan Perkasa yang mengetuai Kotor (Badan Bertindak Pilihanraya Kotor) nanti,” katanya.