Thursday, March 31, 2011

PAS gesa Felcra buat perjanjian bertulis

Oleh Hazayani Zakaria- HARAKAH

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kira-kira 50 peserta daripada tiga Felcra di Perak memberi masa dua bulan kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan tuntutan mereka.

Tempoh dua bulan itu bermula hari ini, selepas memorandum mengandungi tuntutan daripada peserta Felcra Changkat Lada, Seberang Perak dan Nasaruddin diserahkan kepada wakil rakyat PAS dan BN di Parlimen tengahari tadi.

Antara tuntutan utama mereka adalah mengenai pemberian saham yang tidak adil selain tanah yang belum diberikan lokasi yang jelas meskipun mereka sudah mempunyai geran selain pemberian rumah kepada generasi kedua peserta Felcra.


Rombongan tersebut diketuai Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Felcra yang dipengerusikan Datuk Tajuddin Abdul Rahman mengadakan perjanjian bertulis mengenai perkara tersebut.

"Felcra perlu membuat perjanjian bertulis, perlu ada satu dokumentasi yang perlu dijelaskan sebagai satu perjanjian di antara kerajaan dan peserta Felcra.

Beliau turut bimbang sekiranya berlaku penyelewengan dalam Felcra sehingga menyebabkan peserta Felcra tidak mendapat saham dalam jumlah yang sepatutnya.

"Apa yang dikemukakan ini merupakan tuntutan hak peserta Felcra yang sekian lama berhadapan dengan kesamaran khususnya berkaitan pemberian saham satu ekar sawit. Mungkin ada penipuan timbangan buah dan sebagainya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sehubungan itu beliau mencadangkan satu siasatan dilakukan terhadap pengurusan Felcra.

"Mungkin ada unsur penyalahgunaan wang peserta Felcra dan ini memerlukan satu siasatan khusus.

"Kalau soal pemberian saham yang sudah sekian lama belum ada satu penjelasan,siasatan dan audit harus dibuat," katanya.

Siasatan juga katanya harus dilakukan terhadap kelambatan peserta Felcra mendapat pemilikan tanah walaupun mereka sudah membayar premium kepada pegawai tadbir daerah.

Sementara itu, Mazlan sebagai memberi respons kepada cadangan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik untuk mereka mengadakan sesi dialog dan rundingan dengan Felcra berkata, perkara itu sudah lama dilakukan.

Namun tegasnya kerajaan tidak menunjukkan keseriusan untuk menyelesaikan masalah yang dikemukan peserta.

"Kita sudah lama berdialog,berbincang tapi sejauh mana tindakan yang diambil kerajaan?

"Sampai sekarang Datuk Tajuddin gagal menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak polis yang cuba menghalang peserta Felcra daripada menyertai rombongan ke Parlimen pagi tadi.

"Seawal jam empat pagi tadi, polis sudah membuat gangguan. Menghalang peserta daripada menaiki bas, bertanya pelbagai soalan sehingga membantutkan hasrat mereka untuk datang.

"Sepatutnya kita ada 80 orang yang hadir ke Parlimen tapi sebahagian sudah takut untuk bersama-sama kita," katanya.

Sebelum itu mereka bertemu dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Hassan untuk diambil tindakan.

No comments:

Post a Comment