Monday, July 13, 2009

Anwar: Serah Dulu Royalti Minyak Kelantan, Baru Bicara Soal Jambatan

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membidas janji Umno membina jambatan baru untuk pengundi Manek Urai sekiranya BN menang dalam pilihanraya kecil itu.

Anwar berkata Umno perlu menyerahkan semula RM1 bilion royalti minyak yang dihutang Umno-BN kepada rakyat Kelantan sejak 2004.
"Jangan cakap pasal jambatan, serah kembali RM1 bilion dan biarkan Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) uruskannya. Disini mereka cakap pasal RM6 juta, RM7 juta kerana mereka fikir rakyat bodoh," kata Anwar dalam satu ceramah di Sungai Peria, Kuala Krai.

Umno memberi kata dua kepada rakyat Kelantan di Manek Urai - samada undi Pas atau undi untuk jambatan. Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin menjanjikan sebuah jambatan baru menhubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru sekiranya Umno menang dalam pilihanraya nanti.

Namun sepanjang kempen Pas di Manek Urai, Pakatan Rakyat mendesak kerajaan melangsaikan hutang royalti minyak yang dinafikan kepada kerajaan negeri Kelantan sejak 2004.

Exco Kerajaan Negeri Husam Musas bertegas Kelantan berhak kepada royalti minyak selaras dengan akta Petroleum di mana negeri berhak kepada royalti sebanyak lima peratus apabila didiisytihar sebagai pengeluar minyak.

Beliau berharap tiada diskriminasi dilakukan terhadap Kelantan dalam bayaran royalti itu seperti yang pernah berlaku kepada Terengganu semasa PAS memerintah pada 1999 hingga 2004 iaitu peruntukan itu ditukarkan kepada wang ehsan.

-TVAntara

No comments:

Post a Comment