Thursday, July 23, 2009

NUJ ugut berarak ke pejabat PM

author:Jimadie Shah Othman

Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu mengancam berarak ke pejabat perdana menteri jika pengerusinya Amran Ahmad dipecat selepas mengadukan dua kes perbelanjaan syarikat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Ahli majlis eksekutif NUJ itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey berkata, mereka "tidak teragak-agak untuk bertindak lebih jauh" jika organisasi media itu terus-menerus "cuba menindas suara pekerja"."Mula-mula syarikat keluarkan surat tunjuk sebab.

Lepas ini mereka akan pecat Amran dan mana-mana ahli yang bersuara lantang membela hak pekerja-pekerja di Utusan Melayu.

"Jika ini berlaku, kami semua membantah sekeras-kerasnya dan mungkin membawa perkara ini ke perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang merupakan presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Amran dikenakan tindakan disiplin tersebut atas dakwaan "menfitnah" kumpulan media berpengaruh itu susulan tindakannya membuat dua aduan kepada SPRM seperti dilaporkan di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Difahamkan, beliau diminta membuat penjelasan bertulis kepada pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad selewat-lewatnya Selasa lalu - kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan yang lebih serius diambil terhadapnya.

Bagaimanapun masih belum jelas bentuk-bentuk tindakan tersebut.Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" RM160,000.Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Kesatuan sekerja itu masih lagi bergelut untuk memeterai perjanjian bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

Bagaimanapun perjuangan mereka untuk mendapatkan tuntutan CA itu masih gagal walaupun perjanjian lama yang telah tamat pada 31 Julai tahun lepas.Malaysiakini difahamkan, dalam jawapannya terhadap surat 14 Julai lalu, Amran antaranya:

  • Mempertikaikan nama jawatannya “wartawan Gred 4” seperti dalam surat, sedangkan aduannya kepada SPRM didakwa atas kapasiti sebagai pengerusi NUJ cawangan itu.

  • Memaklumkan tindakannya bukanlah peribadi, sebaliknya tindakan selepas diputuskan dalam mesyuarat exco NUJ Utusan.

  • Menyanggah kewajaran tindakan disiplin itu kerana menurut Seksyen 21 dan Seksyen 22, Akta Kesatuan Sekerja 1959, pegawai-pegawai kesatuan sekerja diberikan kekebalan daripada sebarang tindakan, sekiranya ia berkaitan dengan urusan kesatuan.

  • Menjelaskan bahawa Amran tidak pernah menfitnah syarikat, sebaliknya hanya meminta SPRM menyiasat perbelanjaan Utusan yang didakwa melibatkan kos yang tinggi.

    -Malaysiakini
  • 1 comment: